Brunei Darussalam
This article was added by the user . TheWorldNews is not responsible for the content of the platform.

Nissan sasar 100 peratus EV menjelang 2030

LONDON, 26 SEPT – Ketua Eksekutif Nissan kelmarin menyatakan, syarikat itu tidak mempunyai gear undur untuk kenderaan elektrik (EV), walaupun kerajaan United Kingdom (UK) menarik semula salah satu dasar utamanya.

“Lebih dari sejuta pelanggan telah menyertai perjalanan kami dan menikmati pengalaman menggunakan EV Nissan,” kata Makoto Uchida.

“Tidak ada jalan kembali sekarang,” tambahnya.

Janji Uchida, dibuat hanya beberapa hari selepas Perdana Menteri, Rishi Sunak, membangkitkan kemarahan penyokong alam sekitar dan industri automotif dengan menangguhkan larangan yang dicadangkan terhadap kenderaan petrol dan diesel baharu selama lima tahun dari 2030 hingga 2035.

Tetapi beliau menegaskan bahawa ia tidak akan menjejaskan sasaran UK untuk mencapai emisi karbon sifar bersih menjelang pertengahan abad ini.

Ketua Eksekutif Nissan, Makoto Uchida bercakap semasa sidang media Renault Nissan Mitsubishi di London. – AP

Nissan memperkenalkan kereta konsep baharu 2023 di London kelmarin untuk menandakan ulang tahun ke-20 studio reka bentuknya di kawasan Paddington, ibu negara Britain.

Uchida berjanji bahawa Nissan ‘akan beralih kepada kenderaan elektrik sepenuhnya menjelang 2030 di Eropah’, sambil mengatakan, “Itu adalah perkara yang betul untuk dilakukan bagi perniagaan kami, pelanggan kami dan untuk planet ini.”

Pengeluar kereta Jepun itu, rakan kongsi Renault dari Perancis, mengumumkan pada Februari bahawa mereka akan mempercepat langkah mereka ke arah elektrifikasi.

Mereka menyasarkan 98 peratus jualan EV (elektrik atau hibrid) di Eropah menjelang 2027.

“Dengan banyak negara berdebat bila mengharamkan jualan enjin pembakaran dalaman, Nissan terus mengemukakan rancangan untuk mencapai 100 peratus EV di Eropah menjelang 2030,” kata Nissan. – AFP