Brunei Darussalam
This article was added by the user . TheWorldNews is not responsible for the content of the platform.

Orang ramai dijemput meriahkan sambutan Hari Malaysia di Kuching Sabtu depan

KUALA LUMPUR, 8 SEPT – Orang ramai khususnya rakyat Sarawak diseru hadir beramai-ramai ke Stadium Perpaduan di Kuching bagi sama-sama memeriahkan sambutan Hari Malaysia pada Sabtu depan. 

Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Julaihi Narawi berkata pelbagai acara menarik dirancang pada sambutan 16 September itu antaranya Konsert Hari Malaysia yang dijayakan oleh artis negara itu.

Katanya, pengisian lain ialah upacara menandatangani Buku Khas Hari Malaysia serta perarakan masuk Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang.

“Orang ramai yang berada di pekarangan stadium juga berpeluang untuk mengikuti acara rasmi yang berlangsung di dalam Stadium Perpaduan menerusi paparan skrin besar.

“Sama-sama kita menjadi rakyat yang senang akan budaya, penyatuan dan usaha membangunkan sebuah negara bangsa yang bersatu padu,” katanya semasa menjadi tetamu pada program Selamat Pagi Malaysia siaran TV1 hari ini.

Semangat Segulai Sejalai dipraktikkan oleh para peserta pada majlis perarakan kontinjen sempena Sambutan Perayaan 60 Tahun Sarawak Merdeka di Padang Merdeka pada 22 Julai lalu. Orang ramai dijemput meriahkan sambutan Hari Malaysia di Kuching Sabtu depan. – Bernama

Julaihi berkata sambutan Hari Malaysia yang diadakan setiap tahun penting untuk mendidik orang ramai tentang penubuhan Malaysia pada 1963.

“Sejarah penubuhan negara ini perlu diketahui oleh semua warganegara, segenap lapisan generasi. Kalau tidak, kita hanya adakan sambutan setiap tahun, tetapi makna sambutan itu tidak kita hayati dan ketahui,” katanya.

Bertemakan Malaysia MADANI: Tekad Perpaduan, Penuhi Harapan, Sarawak dipilih menjadi tuan rumah Sambutan Hari Malaysia peringkat kebangsaan tahun ini dan majlis di Stadium Perpaduan dijadual bermula dengan acara prapersembahan pada 7 malam sebelum acara rasmi pada 8.30 malam.

Antara tetamu kehormat yang dijangka hadir pada sambutan Hari Malaysia 16 September nanti ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Premier Sarawak, Tan Sri Dr Abang Johari Tun Openg dan isteri, Puan Sri Juma’ani Tuanku Bujang serta Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dan isteri, Datin Seri Juliah Salang. – Bernama