Brunei Darussalam
This article was added by the user . TheWorldNews is not responsible for the content of the platform.

Pasaran karbon adalah ‘penyelesaian palsu’

NAIROBI, 6 SEPT — Seorang aktivis alam sekitar Nigeria mengatakan pada Sidang Kemuncak Iklim Afrika pertama hari ini bahawa pasaran karbon adalah ‘penyelesaian palsu’.

Sidang kemuncak itu telah berusaha untuk merangka semula benua Afrika, yang mempunyai sejumlah besar mineral tenaga bersih dan sumber tenaga boleh diperbaharui, daripada menjadi mangsa perubahan iklim yang didorong oleh ekonomi terbesar di dunia, kepada menjadi sebahagian daripada penyelesaian.

Tetapi pelaburan di benua itu sebagai pertukaran bagi keupayaan untuk terus mencemarkan di tempat lain telah menimbulkan kemarahan sesetengah orang di Afrika yang lebih suka melihat China, Amerika Syarikat, India, Kesatuan Eropah dan negara-negara lain mengekang pelepasan gas rumah hijau mereka sendiri.

Seorang delegasi berjalan di hadapan mural di luar Pusat Konvensyen Antarabangsa Kenyatta (KICC) di Nairobi, Kenya kelmarin. – AP

“Kami menolak penyelesaian secara paksa di tanah kami,” kata Priscilla Achakpa, pengasas Women Environmental Programme yang berpangkalan di Nigeria, kepada peserta sidang kemuncak pada hari terakhir acara itu. Beliau menggesa apa yang dipanggil sebagai Global North untuk ‘melupakan mengenai perspektif kolonial masa lalu’.

Sidang kemuncak itu adalah sebahagian daripada persiapan Afrika untuk Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu yang akan datang, yang dijadualkan berlangsung di Dubai pada bulan Disember.

“Melangkah dari satu acara ke acara lain tidak meninggalkan kita dengan banyak masa berfikir yang membina untuk merapatkan jurang yang masih memisahkan komuniti mengenai cara terbaik untuk mengurangkan pelepasan,” kata Simon Stiell, Setiausaha Eksekutif Konvensyen Rangka Kerja Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu mengenai Perubahan Iklim.

Pasaran karbon, di mana pencemar secara efektif mengimbangi pelepasan dengan melabur dalam inisiatif penanaman pokok atau pemuliharaan, lebih murah untuk dibeli di Afrika daripada di banyak bahagian dunia lain di mana skim tersebut dikawal dengan lebih ketat. Negara-negara Afrika mencari harga yang lebih baik bagi membantu mencapai sasaran pengurangan pelepasan mereka sendiri. – AP