Brunei Darussalam
This article was added by the user . TheWorldNews is not responsible for the content of the platform.

Pasukan Dunia pertahan Piala Laver

VANCOUVER, 25 SEPT – Pasukan Dunia memenangi kejuaraan Piala Laver kedua berturut-turut, kelmarin selepas gandingan Ben Shelton dan Frances Tiafoe mengesahkan kemenangan 13-2 ke atas Pasukan Eropah dengan kemenangan beregu 7-6 (7/4), 7-6 (7/5) ke atas Hubert Hurkacz dan Andrey Rublev.

Kapten Pasukan Dunia, John McEnroe, yang telah mengharungi empat kekalahan berturut-turut dalam acara yang bermula pada 2017 sebelum melihat pasukannya bangkit untuk memenangi gelaran tahun lalu di London, sangat teruja dapat meraikan kemenangan dominan yang bermula dengan kejayaan empat perlawanan pada Jumaat.

“Rasanya sukar dipercayai untuk mengalahkan mereka!” McEnroe bersorak. “Mereka sudah beberapa kali mengalahkan kami. Ia merupakan pertarungan sehingga penghujung apabila kami menang tahun lepas.”

Kali ini, dengan gabungan belia dan pemain pengalaman, McEnroe berkata bahawa dia merasakannya sejak permulaan menentang dengan Pasukan Eropah yang tanpa Holger Rune dari Denmark yang berada di ranking keempat dan Stefano Tsitsipas dari Greece yang berada di ranking kelima dalam pasukan kapten Bjorn Borg, kerana kedua-dua pemain tersebut menarik diri daripada pasukan disebabkan cedera.

Itu menjadikan Rublev di ranking keenam dan Casper Ruud dari Norway di ranking kesembilan sebagai pemain terbaik Eropah.

Ruud meraih mata tunggal bagi pasukan pelawat dengan kemenangannya ke atas Tommy Paul pada Sabtu.

Eropah tidak dapat meneruskan kemenangan itu, dengan Tiafoe me-ngalahkan Hurkacz dalam saingan tunggal pada malam Sabtu sebelum Felix Auger-Aliassime dan Shelton berganding bahu untuk menewaskan Hurkacz dan Gael Monfils dalam acara beregu dan meletakkan Pasukan Dunia hanya satu kemenangan lagi dari kejuaraan menjelang hari terakhir. – AFP

Reaksi Ben Shelton (kiri) dan Frances Tiafoe semasa set pertama perlawanan beregu tenis Piala Laver di Vancouver, British Columbia pada 24 September. – AP