Brunei Darussalam
This article was added by the user . TheWorldNews is not responsible for the content of the platform.

Pelan strategik kukuh sistem pendidikan negara

Oleh Salawati Haji Yahya –

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 SEPT – Kementerian Pendidikan telah merangka Pelan Strategik 2023-2027 ke arah memperkukuhkan sistem pendidikan di setiap peringkat iaitu dari peringkat rendah hingga ke pengajian tinggi, seiring dengan perubahan dunia dalam melahirkan generasi cemerlang.

Dalam mengorak langkah ke hadapan, perjalanan yang dilalui sebelum ini adalah sangat penting kerana pengetahuan, pengajaran dan pengalaman inilah yang dapat memberikan panduan yang tidak ternilai untuk kita melakar haluan ke arah masa depan yang lebih baik dan cerah.

Perkara itu ditekankan oleh Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr
Hajah Romaizah binti Haji Mohd Salleh dalam sembah alu-aluannya pada Majlis Sambutan Hari Guru ke-33 yang berlangsung di Dewan Plenari, Pusat Persidangan Antarabangsa Berakas, kelmarin.

Yang Berhormat Datin seterusnya menyembahkan bahawa sebuah buku bertajuk Education Resilience: Brunei Darussalam’s COVID-19 Journey telah dihasilkan bagi menzahirkan perjalanan pendidikan semasa negara melalui pandemik COVID-19 sebagai kenangan dan ristaan generasi yang akan datang.

“Kementerian Pendidikan adalah dalam fasa pelaksanaan Pelan Transformasi Digital
2023-2027 yang menggariskan hala tuju kementerian dalam melaksanakan inisiatif digital ke arah pendekatan transformasi dalam penyampaian pendidikan secara lebih berkesan serta meningkatkan mutu perkhidmatan organisasi melalui penggunaan teknologi.

“Ini termasuk penyediaan Buku Garis Panduan Pembelajaran Teradun, Sistem Pengurusan Sumber Digital, TV MOE dan Bilik Darjah Pintar,” jelasnya.

Selain itu, kementerian juga sedang giat melaksanakan pelbagai program pendidikan STEAM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan, Seni, dan Matematik), seperti STEAM For Future, STEAM Outreach dan lain-lain dalam usaha memperkukuhkan kemahiran STEAM dalam kalangan pelajar.

Peranan guru adalah kritikal dalam transformasi pendidikan dan dalam usaha untuk terus mengekalkan pendidikan yang relevan, pendekatan pedagogi baharu yang berkesan perlu dilengkapkan di kalangan guru.

Ke arah itu, Kementerian Pendidikan dan Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) sentiasa melaksanakan pelbagai program perkembangan profesional sama ada di peringkat sekolah, kluster, Akademi Kepimpinan dan Guru Brunei Darussalam (BDLTA), serantau dan antarabangsa.

Yang Berhormat Menteri Pendidikan semasa menyampaikan sembah alu-aluan. – Gambar oleh Infofoto