Brunei Darussalam
This article was added by the user . TheWorldNews is not responsible for the content of the platform.

Pemilik kedai emas tawar ganjaran $30,000

Oleh Yusrin Junaidi –

BELAIT, 6 SEPT – Pemilik kedai emas yang premisnya telah disemburkan cat merah oleh dua individu pada Ogos lalu telah menawarkan ganjaran sebanyak $30,000 kepada sesiapa yang mempunyai sebarang maklumat untuk diserahkan kepada polis mengenai kejadian vandalisme terbabit.

Lau Shiew Choi semasa dihubungi menyatakan ganjaran itu adalah sebagai hadiah bagi sebarang maklumat agar kes itu diselesaikan dengan baik dan membawa mereka yang bertanggungjawab untuk diadili. Orang ramai yang mengetahui mengenai kejadian itu atau mempunyai maklumat sahih dan kuat untuk dikongsikan, bolehlah menghubungi balai polis berdekatan atau di talian 8713080.

Terdahulu Lau mengatakan insiden vandalisme yang berlaku pada 21 Ogos itu sudah dilaporkan ke balai polis bersama bukti rakaman CCTV menunjukkan dua individu melakukan perbuatan menyembur cat merah di hadapan kedainya.

Kejadian vandalisme di premisnya di Kuala Belait itu sukar dilupakan, tambah Lau, sementelah lagi kedainya sudah beroperasi di sana selama 50 tahun dan tidak pernah mengalami kejadian seumpama itu.

Beliau juga turut mengongsikan awal mulanya kejadian diketahui melalui pesanan ringkas daripada sahabat terdekat yang mengatakan ada kesan cat merah di hadapan kedainya.

Beliau seterusnya memeriksanya melalui cctv dan mendapati dua suspek telah melakukan perbuatan yang tidak bwrtanggungjawab iaitu memercikkan cat merah di hadapan kedainya.

Menyentuh mengenai dengan vandalisme, menurut Lau, ia merupakan perbuatan tidak bertanggungjawab dan beliau sedikit hairan menjadi mangsa perbuatan itu kerana tidak pernah terlibat dalam sebarang konflik dengan sesiapapun.

Lau Shiew Choi bergambar di kedainya semasa ditemu bual media. – Gambar oleh Yusrin Junaidi