Brunei Darussalam
This article was added by the user . TheWorldNews is not responsible for the content of the platform.

Pengecualian visa: Thailand sambut gelombang pertama pelancong China

BANGKOK, 25 SEPT – Ketibaan Poppy Chen dengan Penerbangan XJ761 Thai AirAsia X dari Shanghai, China, di terminal yang sibuk di Lapangan Terbang Suvarnabhumi disambut mesra oleh Perdana Menteri Thailand, Srettha Thavisin.

          Chen adalah antara 300 pelancong terawal tiba di Thailand selepas negara itu memberikan pengecualian visa sementara untuk penginapan 30 hari bagi tujuan pelancongan, bermula hari ini hingga 29 Februari tahun depan, dalam usaha meningkatkan industri pelancongan negara.

          Srettha dan VIP lain menyampaikan cenderahati kepada penumpang, dengan ramai yang mengambil peluang untuk berswafoto dengan perdana menteri baharu Thailand.

Penari tradisional turut menghiburkan pelancong dengan persembahan meriah di balai ketibaan.

“Saya memutuskan untuk melawat Bangkok selepas Thailand mengetepikan visa untuk pelancong China.

          “Sekarang sangat mudah untuk pelancong China melawat Thailand. Saya menempah penerbangan dan terbang ke sini,” kata Chen kepada Bernama.

          Bagi Han Ru, 30, perjalanannya ke Thailand didorong oleh keinginan untuk menikmati suasana  bandar yang meriah, menikmati kelazatan makanan dan menyelami kekayaan budaya. 

          “Ini kali kedua saya ke Thailand. Saya akan berada di sini selama lapan hari. Dengan pengecualian visa sementara ini, prosesnya lancar dan sangat mudah bagi rakyat China melawat Thailand. Saya akan kembali semula nanti,” katanya.

          Turut hadir pada majlis sambutan itu ialah Menteri Pelancongan dan Sukan, Sudawan Wangsuphakijkosol, Gabenor Pihak Berkuasa Pelancongan Thailand (TAT), Thapanee Kiatphaibool dan Duta China ke Thailand, Han Zhiqiang.

          Sementara itu, Srettha menyatakan keyakinan bahawa pengecualian visa sementara akan merangsang ekonomi.

          “Keselamatan pelancong akan diutamakan,” katanya kepada pemberita di Lapangan Terbang Suvarnabhumi, hari ini. – Bernama

Pelancong China bergambar dengan Perdana Menteri Srettha Thavisin (kanan) semasa ketibaan mereka di Lapangan Terbang Antarabangsa Suvarnabhumi di wilayah Samut Prakarn, Thailand, hari ini. – AP