Brunei Darussalam
This article was added by the user . TheWorldNews is not responsible for the content of the platform.

PM Modi arah pegawai tidak bincang kemungkinan tukar nama India

NEW DELHI, 7 SEPT – Perdana Menteri India, Narendra Modi yang mengadakan mesyuarat Kabinet bagi membincangkan persiapan untuk Sidang Kemuncak G20, mengarahkan para menteri mengelak membahaskan kemungkinan penamaan semula India kepada Bharat, lapor Sputnik memetik akhbar Hindustan Times hari ini.

Bharat ialah India dalam bahasa Hindi, satu daripada bahasa rasmi negara itu selain bahasa Inggeris.

Media India yang memetik sumber melaporkan kerajaan India mungkin mencadangkan penukaran nama negara itu secara rasmi kepada Bharat dan membawa isu itu ke sidang khas Parlimen yang akan diadakan dari 18 hingga 22 September.

Modi menasihatkan pegawainya supaya tidak membuat kenyataan mengenai isu yang mereka tidak diberi kuasa untuk bercakap atau yang boleh menimbulkan kontroversi pada Sidang Kemuncak G20 yang akan berlangsung di New Delhi dari 9 hingga 10 September, menurut sumber.

Beliau juga mengarahkan para menteri untuk menjalankan tugas mereka dan memerangi serangan terhadap perkara berkaitan akidah, menurut laporan itu.

Parti Bharatiya Janata yang memerintah, menggesa Ahli Parlimen dan pegawai parti supaya mengelak daripada membuat ulasan atau kenyataan kontroversi yang boleh menjadi tajuk utama semasa sidang kemuncak itu.

“Jurucakap dan pemimpin lain telah diminta bercakap hanya mengenai isu yang mereka diberi kuasa untuk bercakap. Mereka tidak seharusnya membiarkan pembangkang merampas naratif semasa tumpuan diberikan kepada India dan sidang kemuncak global,” kata seorang wakil parti.

Keputusan Murmu untuk menggunakan nama negara itu dalam bahasa Hindi dalam jemputannya, serta kemungkinan penamaan semula negara itu, mencetuskan kemarahan dalam kalangan parti pembangkang, kebanyakannya sebelum ini menyertai Indian National Developmental Inclusive Alliance (I.N.D.I.A.) yang baru ditubuhkan untuk menentang National Democratic Alliance yang memerintah, pada pada pilihan raya 2024. – Bernama

Seorang lelaki menunggang basikal melepasi pondok perhentian bas dengan poster Perdana Menteri India, Narendra Modi menjelang Sidang Kemuncak G20 minggu ini di New Delhi, India baru-baru ini. – AP