GOFFSTOWN, N.H. – Sekumpulan rakan dan jiran berkumpul untuk menjamu selera setiap minggu, memilih daripada menu khas makanan berkhasiat dibayar oleh program sosial yang bertujuan untuk menjaga warga emas supaya mengambil makanan yang berkhasiat agar kekal sihat.
Mereka semuanyaberusia 60 tahun ke atas, sedang menikmati sup labu manis, sandwic, oat dan telur, sambil bersembang dan bergurau tentang keluarga, politik dan berita harian.
Tetapi jika awda membayangkan mereka berkumpul untuk makan tengah hari di pusat warga emas, ia adalah sebaliknya.
Sebelum COVID melanda, beberapa pusat warga emas telah kehilangan daya tarikan program makan tengah hari mereka dan sesetengah daripadanya tidak lagi beroperasi selepas pandemik.
Penyelesaian terbaik adalah dengan menggunakan sebahagian daripada wang persekutuan dan negeri yang diperuntukkan untuk memberi makan warga emas di restoran-restoran yang berdepan masalah.
Penyelesaian ini bertujuan untuk menyediakan makanan seimbang dengan lebih banyak pilihan, waktu yang fleksibel dan persekitaran yang bebas bagi membantu warga emas berkumpul, bersembang dan mengurangkan kesepian mereka.
“Isolasi adalah pandemik baharu,” yang menunjukkan bahawa masalah kesepian dalam kalangan warga emas adalah serius seperti pandemik.
Jon Eriquezzo juga menyatakan bahawa program-program seperti Meals on Wheels bukan hanya berfungsi sebagai penyedia makanan tetapi juga sebagai sumber sokongan sosial yang sangat diperlukan untuk warga emas, yang membantu mereka keluar dari rumah dan berinteraksi dengan komuniti mereka.
Warga emas mengalami perubahan dalam gaya hidup dan keperluan mereka.
Mereka mungkin masih aktif bekerja, menjaga cucu dan menghadiri temu janji perubatan, yang membuat mereka sukar hadir untuk makan tengah hari atau makan malam pada waktu yang tetap.
Selain itu, setelah bertahun-tahun memasak untuk orang lain, mereka menghargai pengalaman makan di restoran, yang memberikan mereka peluang untuk bersantai dan menikmati makanan tanpa perlu memasak sendiri.
Terdapat program-program restoran yang mempunyai sasaran khusus, seperti warga emas dalam komuniti luar bandar, individu yang mempunyai akses terhad kepada pengangkutan dan komuniti minoriti.
“Semua orang melakukan sesuatu yang berbeza apabila mereka kurang menyediakan perkhidmatan,” kata Lisa LaBonte, seorang penasihat pemakanan berpangkalan di Connecticut.
Menurut maklumat yang dikumpulkan oleh Meals on Wheels America, satu daripada empat orang rakyat Amerika Syarikat (AS) berusia sekurang-kurangnya 60 tahun, dengan 12,000 lagi berusia 60 tahun setiap hari.
Mereka yang berpendapatan tetap juga hidup lebih lama dengan simpanan wang yang sedikit; satu daripada dua warga emas tinggal bersendirian tidak mempunyai pendapatan yang mencukupi untuk membayar keperluan asas.
Debbie LaBarre amat menantikan perjumpaan mingguan dengan rakan-rakannya di restoran White Birch Eatery di Goffstown, New Hampshire.
Restoran itu juga menyenaraikan menu yang memaparkan maklumat penting seperti kalori, karbohidrat dan natrium untuk setiap makanan. Program makanan itu mematuhi sepertiga daripada keperluan harian yang disyorkan oleh USDA untuk orang dewasa di bawah Program Pemakanan di bawah Akta Warga Emas AS di peringkat persekutuan.
LaBarre dan yang lain mendaftar untuk program itu dan mengimbas kad dengan kod QR untuk makanan yang diberikan kepada mereka. Tiada bayaran untuk makanan tersebut, tetapi sumbangan adalah digalakkan.
Walaupun dia sering makan di luar, LaBarre, 67, mengalami penurunan berat badan semasa dia bersedia untuk pembedahan.
Tetapi yang paling penting bagi LaBarre adalah dia berinteraksi dengan orang lain. Dia juga menjelaskan bahawa dia bersara selepas bertahun bekerja sebagai pengurus pejabat perniagaan pembinaan paip dan pemanasan serta bimbang tentang penyakit Alzheimer.
“Ibu saya mengidap penyakit itu dan dia sentiasa di rumah. Dia tidak pernah keluar,” katanya. “Saya sangat takut akan penyakit itu, jadi saya mahu berinteraksi sekerap yang mungkin.”
LaBarre membawa seorang rakan yang baru menduda dan mempunyai masalah penglihatan ke restoran yang berbeza di Merrimack, New Hampshire, yang turut menyertai program makanan untuk warga emas.
“Dia berkata, ‘saya tidak pernah keluar kecuali jika kamu membawa saya’,” kata LaBarre.
Dari segi pemakanan, “kita makan lebih baik dalam kumpulan,” kata penasihat pemakanan Jean Lloyd.
“Kajian menunjukkan bahawa kita makan dengan lebih sihat apabila dikelilingi oleh orang yang makan sihat dan warga emas adalah populasi yang rentan.”
Dia memetik satu kajian pada tahun 2020 tentang kesan kesepian ke atas kesihatan warga emas. Baru-baru ini, Ketua Bedah AS mencatatkan bahawa kesepian meluas di AS membawa risiko kesihatan yang sama seperti merokok sehingga 15 batang rokok setiap hari.
Program itu memberi tumpuan kepada matlamat-matlamat yang luas dalam Akta Warga Emas AS untuk mengurangkan kelaparan dan ketidakmampuan mendapatkan makanan serta mempromosikan sosialisasi, kesihatan dan kesejahteraan warga emas.
Pada tahun 1980an, restoran dianggap sebagai pilihan yang kurang popular berbanding dengan perhimpunan makanan tradisional yang diadakan di pusat-pusat warga emas
dan ruang bawah tanah gereja.
Ia juga menunjukkan perkembangan terkini di mana restoran-restoran dan pembekal makanan lain bekerjasama dengan agensi-agensi tempatan bagi warga emas dan pertubuhan bukan kerajaan seperti Meals on Wheels.
Cyndee Williams, pemilik White Birch Eatery, yang dibuka pada Mac 2020, menyatakan bahawa program makanan untuk warga emas sebagai peluang untuk berhubung dengan pelanggan, meraih keuntungan perniagaan yang kecil dan menyokong kakitangan yang bekerja di restoran tersebut. – AP