Brunei Darussalam
This article was added by the user . TheWorldNews is not responsible for the content of the platform.

Rebut peluang keemasan khatan percuma

Oleh Fatin Nabihah Marzuki –

PHNOM PENH – Sebaik sahaja kenderaan yang membawa seramai 27 orang petugas sukarelawan Pertubuhan Bantuan Kemanusiaan dan Perubatan Malaysia (MedicAid) masuk ke pekarangan Masjid Istiqbal Al’Azim, Kampung Takmo di sini, pelbagai reaksi terpancar di wajah sekumpulan kanak-kanak lelaki yang sedia menunggu di situ.

Ada yang duduk dan ada yang berdiri, sambil memegang kain sarung yang sudah lusuh. Mereka kelihatan gelisah, namun ada yang masih mampu tersenyum.

Masakan tidak, hari itu akan menjadi hari yang penuh bersejarah buat mereka kerana akan dikhatankan beramai-ramai di masjid berkenaan.

Aktiviti berkhatan secara percuma ini adalah antara program dalam misi perubatan dan kemanusiaan ‘Santunan Cambodia’ anjuran MedicAid yang berlangsung pada 29 Ogos hingga 3 September lepas dengan melibatkan 200 kanak-kanak lelaki berusia lingkungan tujuh hingga 15 tahun.

Selain Kampung Takmo, lokasi lain yang terlibat ialah Dakhel Abdolah Othman Al-Dakhel Center di wilayah Takeo, yang terletak 82.5 kilometer dari bandar Phnom Penh.

Dr Syariz Izry mengkhatankan kanak-kanak di Wilayah Ta Khmoa di Masjid Laghazali, Kemboja pada 1 September. – Gambar Bernama
Penduduk Muslim di Wilayah Takeo tidak melepaskan peluang untuk menyertai program berkhatan anjuran MedicAid baru-baru ini. – Gambar Bernama
Pelbagai reaksi terpancar di wajah kanak-kanak lelaki yang menunggu giliran untuk dikhatankan di Masjid Istiqbal Al’Azim, Kampung Takmo, Kemboja. – Gambar Bernama

Peluang keemasan

Sebaik tiba, para sukarelawan MedicAid masuk ke dalam masjid bagi mencari tempat yang sesuai untuk menjalankan operasi khatan.

Di sebuah ruang kecil dipercayai dewan masjid berkenaan, terdapat sebanyak 20 buah meja dan bangku kayu berwarna coklat kekuningan yang masih kukuh.

“Ini adalah meja terbaik pernah kami dapat untuk operasi khatan sejak MedicAid melancarkan program ini enam tahun lalu,” kata Presiden MedicAid, Dr Syariz Izry Sehat kepada Bernama.

Usai menyusun meja yang akan menempatkan kanak-kanak untuk proses khatan, barangan keperluan khususnya ubat-ubatan disusun rapi, alat perubatan dibersihkan dan dinyah kuman sebelum digunakan.

Beberapa orang sukarelawan dilihat mengagihkan belon berwarna-warni serta beg berisi makanan serta menayangkan filem kartun animasi melalui projektor sebagai usaha membantu kanak-kanak terlibat melupakan sejenak rasa gugup mereka sementara menunggu giliran untuk dikhatankan.

Penulis berkesempatan mendekati dan menyapa seorang kanak-kanak yang sedang menunggu gilirannya.

“Saya mahu tunaikan tanggungjawab sebagai seorang Muslim yang baik,” kata Salleh yang bapanya bekerja sebagai seorang nelayan dalam nada ceria dan teruja ketika ditanya perasaannya ketika itu.

Sifat berani Salleh, 12, nyata berbeza dengan ragam kebanyakan kanak-kanak lain di situ yang seusia dengannya kerana ramai yang menangis bahkan ada yang meraung, kemungkinan besar berasa takut untuk dikhatankan.

Di sebalik situasi itu, apa yang lebih menyentuh perasaan penulis dan para sukarelawan ialah terdapat ibu bapa yang terpaksa ‘bertindak keras’ terhadap anak-anak mereka bagi memastikan mereka turut serta dalam program itu.

Daripada pandangan mata kasar, perbuatan ibu bapa itu mungkin dilihat kurang wajar namun siapa tahu mungkin itu sahajalah peluang mereka untuk mengkhatankan anak-anak secara percuma.

Ini berikutan kos berkhatan di negara itu adalah sekitar AS$80 hingga AS$100 bagi seorang kanak-kanak lelaki.

Masyarakat Muslim di sini menyara hidup dengan bekerja sebagai petani, berniaga sendiri, bercucuk tanam sayur-sayuran dan menternak haiwan.

Etnik minoriti ini hidup dalam keadaan serba miskin dan tidak mampu untuk membiayai kos perubatan termasuklah berkhatan.

Atas faktor keterbatasan itu, mereka amat mengharapkan khidmat khatan secara percuma daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang datang ke wilayah mereka dan berusaha sedaya upaya untuk hadir meskipun terpaksa menempuh jarak perjalanan yang jauh.

Program khatan julung kali

Menurut hakam Masjid Istiqbal Al’Azim, Binyamin Yakkop, 60, ini merupakan julung kalinya NGO datang untuk menjalankan program berkhatan secara percuma.

“Sebelum ini, kebanyakan NGO yang datang menyampaikan sumbangan barangan dan pakaian harian. Namun ini kali pertama NGO datang buat program khatan percuma dan apabila penduduk kampung tahu mengenai program ini, mereka sangat gembira,” katanya yang berulang kali mengucapkan terima kasih kepada para sukarelawan MedicAid atas khidmat yang diberikan di kampung itu.

Sementara itu, penduduk Muslim di wilayah Takeo turut tidak melepaskan peluang untuk menyertai program berkhatan tersebut.

Lebih mengharukan, kira-kira 20 buah keluarga yang tinggal di 16 kampung di pulau di sekitar tempat program dijalankan iaitu di Dakhel Abdolah Othman Al-Dakhel Center sanggup menaiki bot yang memakan masa lebih satu jam bagi membolehkan anak-anak mereka dikhatankan.

Tidak dapat dibayangkan cabaran kanak-kanak itu yang perlu menempuh perjalanan jauh selepas berkhatan, namun sekali lagi, mungkin itu sahaja peluang yang mereka ada.

Sebelum MedicAid ditubuhkan secara rasmi pada 2020, sekumpulan pengamal perubatan dari Malaysia datang ke Kemboja pada tahun 2017 bagi menyalurkan khidmat berkhatan buat kanak-kanak di sini tanpa mengenakan sebarang bayaran.

Bagi Dr Syariz Izry, 47, yang mempunyai pengalaman luas dalam misi kemanusiaan sejak tahun 2015, antaranya di Syria, Turki dan Cox’s Bazar di Bangladesh, terdapat banyak ruang dan peluang untuk dirinya dan rakan membantu penduduk Muslim di Kemboja.

“Kalau kita lihat demografi Kemboja, ia sebuah negara yang amat ‘muda’ selepas pemerintahan Pol Pot, baru merdeka. Mereka ini memang hidup susah. Ada petani dan nelayan. Disebabkan itu, kami terpanggil untuk membantu mereka,” katanya yang berkhidmat sebagai pakar bedah pediatrik di hospital swasta di Shah Alam, Selangor dan Kuala Lumpur.

Pengalaman berharga

Sehingga kini, pihak MedicAid mengkhatankan lebih 1,000 orang kanak-kanak Kemboja di pelbagai wilayah negara itu.

Menurut Dr Syariz Izry, mereka melalui pelbagai keadaan lokasi operasi khatan, antaranya di atas meja yang sangat usang, berlantai tanah dan ketiadaan sumber elektrik yang kebiasaannya terjadi di madrasah kawasan pedalaman.

Dalam situasi seperti itu, pihaknya perlu melakukan operasi khatan menggunakan headlight dan beberapa alatan lain.

“Ia antara pengalaman berharga yang dilalui oleh para sukarelawan MedicAid dan tidak sedikit pun membuatkan kami membezakan layanan terhadap kanak-kanak di lokasi berkenaan, sebaliknya terus memberikan khidmat terbaik dan layanan sama rata,” katanya.

Turut berkongsi pengalaman, sukarelawan yang juga pakar perunding unit jagaan rapi pediatrik di sebuah hospital swasta di Subang Jaya, Selangor Dr Anis Siham Zainal Abidin berkata, beliau mula terlibat dalam aktiviti sukarelawan dalam dan luar negara sejak tahun 2012 sebelum menyertai pasukan Dr Syariz Izry pada tahun 2017 untuk operasi khatan di Kemboja.

“Kebanyakan program berkhatan memang sangat memenatkan sebab kita bertugas dari pagi sampai habis (tamat program). Yang seronoknya bila kita pergi ke luar tu kita tak tahu apa yang kita akan hadapi, orang di sekeliling itu macam mana, tempat tinggal pun kita tak tahu macam mana kerana setiap kawasan yang kita pergi adalah tempat yang berlainan.

“Tapi di sini (MedicAid) kita ada kawan yang bersama-sama hadap (lalui) dan terima sahaja apa yang ada dengan gembira selain semangat setia kawan,” katanya yang turut membawa bersama anak lelakinya, Ahmad Muhsin Al Amin Zakir Hussein, 9. – Bernama