NEUBRANDENBURG, JERMAN, 26 SEPT – Polis Jerman hari ini mengumumkan bahawa mereka telah menahan seorang remaja yang disyaki membunuh seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun yang ditemui dengan kesan luka tikaman ketika dalam perjalanan pulang dari padang sukan.
Kanak-kanak itu ditemui di kawasan semak minggu lalu selepas ibu bapanya melaporkan kehilangannya apabila dia tidak pulang ke rumahnya di bandar utara Pragsdorf.
Meskpiun penyelamat cuba menyelamatkannya, namun dia kemudian disahkan meninggal dunia di hospital.
Penyiasat menemui sebilah pisau berdekatan tempat kejadian yang dipercayai sebagai senjata pembunuhan.
Polis kini mengaitkan jejak DNA yang dijumpai pada pisau itu dengan seorang remaja lelaki berusia 14 tahun, kata mereka hari ini.
Remaja tersebut telah disoal siasat sebelum ini kerana dia adalah individu terakhir yang dilihat bersama kanak-kanak lelaki itu dan telah menimbulkan kecurigaan pihak polis apabila dia membuat kenyataan yang bercanggah, kata polis. – AFP