Brunei Darussalam
This article was added by the user . TheWorldNews is not responsible for the content of the platform.

Resipi snek selepas sekolah dengan sedikit kelainan

Oleh Christopher Kimball –

Snek selepas sekolah boleh membuka selera bukan sekadar untuk kanak-kanak sahaja.

Beberapa penambahbaikan ringkas dan sofistikated kepada hidangan klasik seperti bertih jagung dan biskut mentega kacang, boleh menghasilkan snek yang akan dinikmati oleh semua orang.

Biskut mentega kacang memang lazat, tetapi ia boleh menjadi hambar dan terlalu manis.

Bagi mencari sedikit keseimbangan, penulis telah mendapat inspirasi daripada biskut mentega kacang yang sangat popular dari Falco Bakery di Melbourne, Australia.

Ramuan mengejutkan mereka ialah miso beras perang, yang mengimbangi kemanisan biskut mentega kacang biasa dan meningkatkan rasa kacang.

Imej yang dikeluarkan oleh Milk Street ini menunjukkan resipi bertih jagung mentega berempah. – Gambar AP
Imej yang dikeluarkan oleh Milk Street ini menunjukkan resipi biskut mentega kacang-miso. – Gambar AP
Gambar AP

Kami membuat sedikit penyesuaian dengan menggantikan miso putih, yang lebih mudah didapati dan menambah kedalaman yang menarik untuk menjadikan biskut itu rasa penuh dan kompleks.

Beberapa cubit turbinado atau gula mentah menambah sedikit kerangupan pada tekstur kenyal bagi hidangan yang enak tetapi seimbang.

Oleh kerana kandungan natrium yang berbeza-beza antara jenama miso, cari yang mempunyai kira-kira 300 miligram setiap 12 gram miso (semak maklumat pemakanan pada label).

Dan jangan gunakan mentega kacang asli. Perbezaan dalam kandungan lemak dan gula antara jenama boleh mempengaruhi tekstur dan rasa biskut, jadi mentega kacang yang biasa seperti Skippy atau Jif adalah pilihan yang terbaik.

Untuk snek lain, kami mengemas kini bertih jagung bermentega ringkas menggunakan teknik biasa Asia Selatan bagi menaikkan rasa dalam masa yang hampir sama diambil untuk memasak bertih jagung.

Dikenali sebagai tarka, ia melibatkan herba dan rempah ratus dalam minyak panas untuk menambah rasa dan tekstur pada hidangan asas, biasanya sayur-sayuran tumis, rebusan lentil dan sayur-sayuran kukus.

Teknik ini juga sesuai digunakan untuk bertih jagung. Campuran jintan manis dan kari dalam resipi ini adalah berani dan sedap; jika awda atau anak-anak awda lebih suka campuran gula dan rempah, lihat alternatif bertih jagung tarka pedas-manis di bawah.

Bagi kanak-kanak yang tidak suka pedas, awda mungkin perlu mengurangkan atau mengelakkan lada cayenne.

Untuk membuat jumlah bertih jagung yang diperlukan dalam resipi ini tanpa peralatan khas, dalam kuali besar, campurkan satu pertiga cawan biji bertih jagung dengan 1 sudu minyak.

Tutup dan panaskan di atas api sederhana-besar sehingga biji-biji mula meletus, kemudian kecilkan api kepada sederhana dan masak, goncang kuali sekali-sekala, sehingga letusan menjadi perlahan kepada 3 hingga 4 saat antara letusan.

Bertih Jagung Mentega Berempah

Mula hingga selesai: 10 minit
Menghasilkan 6 cawan
6 hingga 7 cawan bertih jagung (lihat nota)
3 sudu besar mentega masin
1½ sudu kecil jintan halus
1 sudu kecil serbuk kari
1 sudu kecil biji adas yang dikisar
1 sudu kecil gula putih
¼ hingga ½ sudu kecil lada cayenne

Garam Kosher

Letakkan bertih jagung dalam mangkuk besar. Dalam periuk kecil di atas api sederhana-besar, panaskan mentega sehingga hampir cair sepenuhnya. Masukkan jintan manis, serbuk kari, jintan hitam, gula dan lada cayenne, kemudian masak sambil mengacau sehingga berbau harum dan mentega berbuih, selama 30 hingga 45 saat.

Tuangkan segera ke atas bertih jagung, kemudian taburkan 1½ sudu kecil garam dan toskan. Rasa dan taburkan garam tambahan jika perlu.

Bertih Jagung Pedas-Manis

Letakkan 6 hingga 7 cawan bertih jagung dalam mangkuk besar. Dengan api sederhana-besar, panaskan 3 sudu besar mentega dalam periuk kecil sehingga hampir cair sepenuhnya.

Masukkan dua sudu kecil gula perang, satu sudu kecil serbuk buah pelaga, ½ sudu kecil serbuk kayu manis dan ½ sudu kecil lada cayenne, kemudian masak sambil mengacau sehingga berbau harum dan mentega berbuih, selama 30 hingga 45 saat.

Segera tuangkan ke atas bertih jagung, kemudian taburkan dengan satu sudu kecil garam kosher dan toskan. Rasa dan taburkan garam tambahan jika perlu.

Biskut Mentega Kacang–Miso

Mula hingga selesai: 50 minit
Menghasilkan 18-20 keping biskut
252 gram tepung serba guna
1 sudu kecil serbuk penaik
1 sudu kecil soda penaik
8 sudu besar mentega masin
199 gram gula perang
122 gram gula putih
88 gram mentega kacang chunky (lihat nota)
75 gram miso putih
2 sudu kecil minyak bijan panggang
1 biji telur besar
2 sudu kecil ekstrak vanila
62 gram gula turbinado

Dalam mangkuk bersaiz sederhana, adun bersama tepung, serbuk penaik dan soda penaik.

Dengan menggunakan pengadun berdiri, gaul mentega, gula perang dan gula putih pada kelajuan sederhana-tinggi sehingga sebati, selama kira-kira 3 minit.

Masukkan mentega kacang, miso dan minyak, kemudian pukul sehingga adunan menjadi ringan dan gebu, selama kira-kira 2 minit.

Masukkan telur dan vanila, kemudian gaul lagi.

Dengan menetapkan pengadun berdiri pada kelajuan rendah, masukkan adunan tepung secara beransur-ansur. Adun, kikis mangkuk mengikut keperluan, hanya sehingga doh menjadi sebati, selama 1 hingga 2 minit.

Menggunakan spatula, gaul doh dengan tangan untuk memastikan tiada bekas tepung yang tinggal; doh akan menjadi amat lembut.

Letakkan sehelai plastik di atas permukaan doh dan sejukkan di dalam peti sejuk sekurang-kurangnya selama 2 jam atau sehingga 24 jam.

Apabila sedia untuk dibakar, panaskan ketuhar pada suhu 180 darjah Celsius dengan rak di kedudukan tengah. Alas dua dulang pembakar dengan kertas minyak.

Masukkan gula turbinado ke dalam mangkuk kecil. Bahagikan doh kepada 18 bahagian, kira-kira 3 sudu besar setiap satu, kemudian uli menjadi bebola 1½ inci.

Celupkan setiap satu bebola dalam gula turbinado untuk menyalut satu bahagian; letakkan bahagian bergula di atas dulang pembakar yang disediakan, sembilan biji untuk setiap satu dulang. Bakar selama 10 minit.

Keluarkan dulang pembakar dari ketuhar dan ketuk dua kali dengan kuat ke atas meja untuk mengeluarkan angin dari biskut.

Bakar selama 5 hingga 7 minit lagi, atau sehingga biskut tersebut pecah dan berwarna keemasan di tepinya. Sejukkan biskut di dulang pembakar di atas rak dawai selama 10 minit.

Menggunakan spatula logam, pindahkan biskut yang sudah dibakar ke atas rak penyejukan dan sejukkan sepenuhnya.

Sementara itu, ulangi dengan kumpulan biskut kedua. – AP