Brunei Darussalam
This article was added by the user . TheWorldNews is not responsible for the content of the platform.

Ribuan sertai perarakan Maulidur Rasul di S’wak

KUALA LUMPUR, 28 SEPT – Perarakan sempena sambutan Maulidur Rasul 1445H/2023 turut berlangsung di ibu negeri Sarawak pagi ini, dalam menghayati perjuangan pembangunan ummah yang diwarisi daripada junjungan besar Nabi Muhammad SAW.

Hujan renyai tidak mematahkan semangat 10,991 peserta daripada 248 kontinjen dari pelbagai jabatan serta agensi untuk menyertai perhimpunan dan perarakan sempena Maulidur Rasul di Padang Merdeka, Kuching.

Majlis yang bermula pada pukul 7:30 pagi itu turut dihadiri Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Abdul Taib Mahmud, Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg serta barisan kepimpinan kerajaan negeri.

Abang Johari dalam ucapannya pada majlis itu berkata Sarawak akan menjadikan Piagam Madinah yang dicetuskan Nabi Muhammad SAW sebagai asas dalam merangka dasar di negeri itu.

Katanya, piagam yang turut dikenali sebagai Perlembagaan Madinah itu memberi penekanan kepada keadilan untuk semua tanpa mengira agama terutamanya dalam urusan pentadbiran.

“Piagam itu tercatat dalam sejarah dunia sebagai satu dokumen perjanjian yang mencerminkan kemuliaan sifat Nabi Muhammad SAW dalam hubungan antara agama.

“Oleh itu, kita di Sarawak mengambil iktibar daripada piagam itu, kerana kita mempunyai masyarakat berbilang kaum dan agama, dan kerajaan Sarawak akan berikan keadilan untuk semua,” katanya. – Bernama

Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abdul Taib Mahmud (duduk kanan) berbual bersama Tan Sri Abang Johari Tun Openg ketika hadir bagi menyaksikan perarakan sempena sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri di Padang Merdeka kelmarin. – Bernama