Brunei Darussalam
This article was added by the user . TheWorldNews is not responsible for the content of the platform.

Saintis ‘revolusi hijau’ India meninggal dunia

NEW DELHI, 28 SEPT – India hari ini bersedih atas kematian saintis Monkombu Sambasivan Swaminathan, arkitek ‘revolusi hijau’ 1960an yang mengakhiri masalah kekurangan makanan kronik yang melanda negara itu.

Ahli genetik tumbuhan itu meninggal dunia pada usia 98 tahun di Chennai selepas kerjaya akademik cemerlang yang mengumpul 84 ijazah kedoktoran kehormat dari beberapa universiti terkemuka dunia.

Kerjanya dalam pembiakan varieti gandum dan beras dengan hasil yang lebih baik, serta melatih petani untuk mengusahakannya, membantu mengubah India daripada negara yang kelaparan menjadi pengeksport makanan.

“Pada masa yang sangat kritikal dalam sejarah negara kita, kerja beliau yang signifikan dalam bidang pertanian telah mengubah kehidupan jutaan orang dan memastikan keselamatan makanan untuk negara kita,” tulis Perdana Menteri Narendra Modi di X, yang sebelum ini dikenali sebagai Twitter.

“Semangatnya untuk melihat India maju wajar dijadikan teladan.”

Swaminathan telah dianugerahkan ijazah kedoktoran dalam bidang genetik dari Universiti Cambridge pada 1952 tetapi menolak jawatan profesor di Amerika Syarikat (AS) setelah memutuskan untuk kembali ke India selepas merdeka dan ‘berkhidmat untuk negara’.

Kenangan masih segar tentang Kebuluran Bengal pada tahun 1943 menjelang penghujung pemerintahan kolonial British, apabila sehingga 3.8 juta orang mati akibat kebuluran.

Beliau mula bekerjasama dengan ahli agronomi AS, Norman Borlaug, yang sumbangannya sendiri dalam menambah baik bekalan makanan dunia memenanginya Hadiah Nobel Keamanan. – AFP

Swaminathan berucap pada sidang akhbar di New Delhi, India, 31 Julai 2007. – AP