Brunei Darussalam
This article was added by the user . TheWorldNews is not responsible for the content of the platform.

Saka alami kecederaan

LONDON, 27 SEPT – Bukayo Saka telah menyertai senarai kecederaan Arsenal yang semakin bertambah selepas Mikel Arteta mendedahkan bahawa penyerang England itu menghadapi kecederaan kaki.

Arteta terpaksa meninggalkan padang dalam minit-minit terakhir perlawanan selepas seri 2-2 menentang pesaing utara London, Tottenham, pada Ahad.

Pemain berusia 22 tahun itu pasti akan terlepas perlawanan pusingan ketiga Piala Liga Arsenal di Brentford, hari ini dan juga mungkin tidak dapat bermain dalam perlawanan Liga Perdana pada Sabtu menentang Bournemouth.

Jika Saka tidak dapat beraksi pada hujung minggu ini, ia akan menamatkan rekod kelabnya dalam 86 penampilan berturut-turut dalam Liga Perdana.

“Dia cedera teruk selepas perlawanan. Kami terpaksa mengeluarkannya dari padang, yang tidak pernah menjadi petanda yang baik. Dia tidak dapat mengambil bahagian dalam sesi latihan,” kata Arteta kepada pemberita, kelmarin.

Apabila ditanya jika dia mungkin akan terlepas perlawanan Bournemouth, Arteta menambah “Ia adalah kemungkinan, ya.”

Saka merupakan bintang Arsenal terbaharu yang mengalami masalah kecederaan selepas pemain tengah England, Declan Rice yang digantikan pada separuh masa menentang Tottenham disebabkan masalah belakang. – AFP

Aksi Bukayo Saka (tengah) semasa perlawanan bola sepak Liga Perdana Inggeris di stadium Emirates di London pada 24 September. – AP