Brunei Darussalam
This article was added by the user . TheWorldNews is not responsible for the content of the platform.

Sakkari juara WTA Terbuka Guadalajara

GUADALAJARA, 24 SEPT – Pilihan kedua, Maria Sakkari menamatkan penantian empat tahunnya untuk kejuaraan WTA kedua apabila dia menewaskan Caroline Dolehide 7-5, 6-3 untuk memenangi Terbuka Guadalajara peringkat 1000, kelmarin.

Pemain Greece, Sakkari, yang menduduki tempat kesembilan dunia, telah gagal mendapat gelaran dalam enam pusingan akhir sejak kemenangan pertamanya di Rabat pada 2019.

Itu termasuk perlawanan akhir Guadalajara tahun lalu, apabila dia tewas kepada Jessica Pegula dari Amerika.

Selepas menjadi pemain pertama musim ini yang memenangi acara WTA 1000 tanpa kalah satu set, Sakkari yang penuh emosi mengucapkan terima kasih kepada jurulatihnya selama lima tahun, sambil menyatakan bahawa mereka telah menunggu ‘lebih empat tahun untuk gelaran kedua’.

“Kami telah mendengar begitu banyak perkara buruk – bahawa saya tidak akan memenangi kejuaraan, bahawa saya adalah pemain lima teratas dengan hanya memenangi satu gelaran, itu sangat sukar untuk mengatasinya dan saya sangat gembira kerana saya melakukannya di sini minggu ini,” katanya.

Reaksi Maria Sakkari bergambar bersama trofi yang dimenangainya semasa perlawanan akhir wanita pada kejohanan tenis Terbuka Guadalajara di Guadalajara, Mexico pada 23 September. – AP

Sakkari menamatkan minggu yang ajaib untuk Dolehide, menduduki tempat ke-111 dunia dan bermain dalam final kerjaya pertamanya.

Dolehide merebut kembali early break dalam set pembukaan untuk mendahului 5-4.

Tetapi Sakkari memenangi dua perlawanan seterusnya, memanfaatkan salah satu daripada enam double fault Dolehide untuk menang dengan 6-5.

Ketinggalan 0-30 pada perlawanan seterusnya, Sakkari bangkit untuk mengambil set pertama dan akhirnya mendapat kelebihan pada perlawanan kedua dengan break untuk mendahului 3-2.

Itu sudah cukup, walaupun terdapat saat yang tegang dalam permainan ketujuh, apabila pendahuluan 40-0 Sakkari hilang sebelum dia memantapkan dirinya untuk mengambil permainan dengan ace ketiganya dalam pertandingan itu. – AFP