Brunei Darussalam
This article was added by the user . TheWorldNews is not responsible for the content of the platform.

Sasar pembinaan hijau

Oleh Sim Y. H. –

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 SEPT – Negara Brunei Darussalam telah menyampaikan cita-citanya untuk bergerak ke arah sifar bersih menjelang 2050, sehubungan itu, industri pembinaan di negara ini sebagai sebuah sektor ekonomi utama, diseru untuk menyumbang kepada sasaran sifar bersih menerusi pembinaan mampan atau pembinaan hijau.

Seruan itu disuarakan oleh Setiausaha Tetap (Infrastruktur, Perumahan dan Profesional) di Kementerian Pembangunan, Ir Haji Amer Hishamuddin bin POKAPDSS Haji Zakaria dalam ucaptama semasa Sesi Kedua Dialog Pembinaan Hijau 2023 yang diadakan di Indera Kayangan Ballroom, The Empire Brunei, hari ini.

Pembinaan hijau boleh ditakrifkan sebagai pembinaan bangunan dan infrastruktur untuk memaksimumkan produktiviti serta kesihatan pekerja dengan menggunakan sumber yang lebih sedikit, mengurangkan sisa buangan dan kesan alam sekitar negatif.

Oleh itu, pembinaan hijau menawarkan kita kaedah maju ke hadapan yang inovatif dan mampan. Ia bukan sahaja mengenai pembinaan bangunan tetapi juga tentang cara mendekati pembangunan dengan mengambil kira aspek sosial, ekonomi dan alam sekitar.

Ir Haji Amer Hishamuddin menambah, pembinaan hijau mempromosikan amalan mesra alam yang meminimumkan kesan negatif kepada alam sekitar serta pada masa yang sama, memberikan manfaat kepada ekonomi dan memperbaiki kualiti kehidupan masyarakat.

Ir Haji Amer Hishamuddin semasa melawat pameran pada acara tersebut. – Gambar oleh Muiz Matdani
Ir Haji Amer Hishamuddin semasa menyampaikan ucapan pada majlis tersebut. – Gambar oleh Muiz Matdani

Beliau juga menerangkan mengenai aspek-aspek penting dalam pembinaan hijau iaitu penggunaan bahan mampan, pemuliharaan air, efisien tenaga, manfaat ekonomi dan penyejajaran standard pembinaan hijau dengan matlamat kemampanan global.

Ir Haji Amer Hishamuddin dalam ucaptama berkenaan menyatakan bahawa Kementerian Pembangunan melalui pihak Autoriti Kawalan Bangunan dan Industri Pembinaan (ABCi) pada 2022 telah menerbitkan Rangka Kerja Industri Pembinaan 2023-2035 di mana ia menggariskan hasil strategik utama kementerian ke arah mencapai sebuah industri pembinaan negara yang mampan, kompeten dan kondusif. Ke arah itu, ABCi bersama-sama dengan pelbagai pihak yang berkepentingan seperti Jabatan Tenaga, Jabatan Kerja Raya dan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan telah memperkenalkan pelbagai inisiatif ke arah pembinaan hijau.

Beliau menerangkan bahawa pada 2015, Kementerian Pembangunan melalui ABCi telah melancarkan Energy Efficiency and Conservation (EEC) Building Guideline 2015 for Non-Residential Buildings.

Pada 2016, ABCi memperkenalkan alat penilaian tanda hijau tempatan yang dibangunkannya, BAGUS di mana pada 2022, telah menaikkan taraf alat rating berkenaan dengan memasukkan standard kecekapan tenaga Jabatan Tenaga yang menetapkan keperluan prestasi tenaga minimum produk-produk elektrik untuk mengurangkan penggunaan tenaga dan pelepasan gas rumah hijau.

Kementerian Pembangunan juga sedang melihat kepada memperkenalkan inisiatif-inisiatif menerusi perancangan garis panduan bagi menggalakkan bangunan-bangunan baharu dalam sektor swasta menjadi bangunan-bangunan hijau.

Pada 2022, Ir Haji Amer Hishamuddin juga memperkenalkan Skim Produk Mampan di mana skim itu membolehkan pendaftaran produk dan bahan mampan bagi industri pembinaan yang selaras dengan keperluan industri pembinaan ke arah pembangunan mampan bagi persekitaran binaan.

Menerusi skim itu, tambahnya, diharap akan memudahkan dan menggalakkan penggunaan lebih banyak produk mampan dalam industri pembinaan dengan memberikan pemaju, pereka dan kontraktor lebih banyak maklumat mengenai produk mampan alam sekitar.

Sehingga hari ini, lebih daripada 80 permohonan Skim Produk Mampan telah diluluskan dengan lebih banyak produk didaftarkan dalam masa terdekat.

Beliau seteusnya menyatakan Kementerian Pembangunan komited memastikan projek-projek pembinaan kerajaan dilaksanakan dengan mampan seperti Jabatan Kemajuan Perumahan telah memberikan rumah bagi warga yang mempunyai rating Tanda Hijau (Green Mark) termasuk 300 Apartmen Lambak Kanan dan 1,000 buah rumah di bawah Perumahan Kluster Lugu.

Di samping itu, kerajaan juga memasukkan ciri-ciri bangunan hijau bagi kesemua bangunan baharu kerajaan telah mengetengahkan rekaan cekap tenaga, pemuliharaan air dan penggunaan bahan-bahan mampan. Berikutan dengan kejayaan pemasangan PV solar rintis di Temburong, kerajaan juga akan terus memasang lebih banyak PV solar di bumbung bangunan-bangunan kerajaan yang bersesuaian.