Brunei Darussalam
This article was added by the user . TheWorldNews is not responsible for the content of the platform.

Saudi Aramco UMUM perjanjian LNG global pertama

RIYADH, 29 SEPT – Syarikat minyak gergasi, Saudi Aramco, mengumumkan perjanjian pelaburan pertamanya dalam Gas Asli Cecair (LNG) di peringkat global kelmarin, sebagai sebahagian daripada usaha lebih luas oleh syarikat tenaga itu untuk berkembang melangkaui minyak.

Syarikat yang dianggap sebagai permata ekonomi Arab Saudi itu berkata ia akan memperoleh pegangan minoriti bernilai AS$500 juta dalam MidOcean Energy, yang diuruskan oleh firma pelaburan Amerika Syarikat, EIG.

“Kami menjangkakan pertumbuhan yang diterajui dengan permintaan yang kukuh untuk LNG apabila dunia meneruskan perjalanan peralihan tenaga, dengan gas menjadi bahan api dan bahan mentah penting dalam pelbagai industri,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Aramco, Amin Nasser, dalam satu kenyataan.

“Kami percaya bahawa gas akan menjadi penting dalam memenuhi keperluan tenaga yang semakin meningkat di seluruh dunia untuk tenaga yang lebih selamat, mudah diakses dan lebih mampan.”

Beliau berkata perjanjian itu ‘menandakan pelaburan antarabangsa pertama Aramco dalam LNG’.

Arab Saudi, pengeksport minyak mentah terbesar di dunia, memiliki 90 peratus saham Aramco dan bergantung kepada pendapatan daripadanya untuk program reformasi ekonomi dan sosial yang luas yang dikenali sebagai Visi 2030, yang bertujuan untuk mengalihkan ekonomi daripada bahan api fosil.

Aramco mahu menjadi ‘pemain utama LNG global’, kata Presiden Hulu Aramco, Nasir K. Al-Naimi, dalam kenyataan kelmarin, sambil menambah bahawa syarikat itu melihat ‘peluang yang besar dalam pasaran ini, yang berada pada kedudukan pertumbuhan struktur jangka panjang yang penting.’ – AFP

Gambar Freepik