Brunei Darussalam
This article was added by the user . TheWorldNews is not responsible for the content of the platform.

Sidang trilateral akan diadakan secepat mungkin

BEIJING, 26 SEPT – China hari ini berkata ia telah bersetuju dengan Jepun dan Korea Selatan untuk mengadakan sidang kemuncak antara pemimpin ketiga-tiga negara tersebut ‘secepat mungkin’, selepas pertemuan yang jarang berlaku antara diplomat-diplomat kanan di Seoul.

Perbincangan tiga penjuru itu – dihadiri oleh timbalan dan penolong menteri dari ketiga-tiga negara yang dilihat sebagai cubaan untuk meredakan kebimbangan Beijing terhadap hubungan keselamatan Washington yang semakin erat dengan Tokyo dan Seoul.

Beijing menyifatkannya sebagai ‘perbincangan mendalam bagi menggalakkan permulaan semula kerjasama yang stabil’.

“Adalah telah dipersetujui bahawa menjalankan kerjasama antara China, Jepun dan Korea Selatan merupakan kepentingan bersama ketiga-tiga pihak,” kata jurucakap kementerian luar, Wang Wenbin.

Ketiga-tiga negara itu bersetuju untuk mengadakan mesyuarat menteri luar mereka ‘dalam beberapa bulan yang akan datang’, kata Wang, dan untuk menggalakkan ‘penganjuran mesyuarat pemimpin secepat mungkin pada masa yang sesuai bagi ketiga-tiga negara’.

Kementerian Luar Korea Selatan juga berkata para diplomat telah ‘bersetuju untuk mengadakan mesyuarat sidang kemuncak trilateral secepat mungkin dan menjadi tuan rumah mesyuarat menteri trilateral sebagai persediaan’. – AFP

(Dari kiri) Timbalan Menteri Luar Kanan Jepun, Takehiro Funakoshi, Timbalan Menteri Luar Korea Selatan, Chung Byung-won dan Penolong Menteri Luar China, Nong Rong, bergambar sebelum mesyuarat peringkat tinggi di Seoul, Korea Selatan kelmarin. – AP