Brunei Darussalam
This article was added by the user . TheWorldNews is not responsible for the content of the platform.

Thailand sambut kumpulan pertama pelancong China

BANGKOK, 25 SEPT – Ketibaan Poppy Chen dengan Penerbangan XJ761 Thai AirAsia X dari Shanghai, China, di terminal yang sibuk di Lapangan Terbang Suvarnabhumi disambut mesra oleh Perdana Menteri Thailand, Srettha Thavisin.

Chen adalah antara 300 pelancong terawal tiba di Thailand selepas negara itu memberikan pengecualian visa sementara untuk penginapan 30 hari bagi tujuan pelancongan, bermula hari ini hingga 29 Februari tahun depan, dalam usaha meningkatkan industri pelancongan negara.

Srettha dan VIP lain menyampaikan cenderahati kepada penumpang, dengan ramai yang mengambil peluang untuk berswafoto dengan perdana menteri baharu Thailand.
Penari tradisional turut menghiburkan pelancong dengan persembahan meriah di balai ketibaan.

“Saya memutuskan untuk melawat Bangkok selepas Thailand mengetepikan visa untuk pelancong China.

“Sekarang sangat mudah untuk pelancong China melawat Thailand. Saya menempah penerbangan dan terbang ke sini,” kata Chen kepada Bernama.

Srettha Thavisin bergambar ramai bersama pelancong dari China ketika mereka tiba di Lapangan Terbang Suvarnabhumi di Bangkok pada 25 September. – AFP

Bagi Han Ru, 30, perjalanannya ke Thailand didorong oleh keinginan untuk menikmati suasana bandar yang meriah, menikmati kelazatan makanan dan menyelami kekayaan budaya.

“Ini kali kedua saya ke Thailand. Saya akan berada di sini selama lapan hari. Dengan pengecualian visa sementara ini, prosesnya lancar dan sangat mudah bagi rakyat China melawat Thailand. Saya akan kembali semula nanti,” katanya.

Sementara itu, Srettha menyatakan keyakinan bahawa pengecualian visa sementara akan merangsang ekonomi.

“Keselamatan pelancong akan diutamakan,” katanya kepada pemberita di Lapangan Terbang Suvarnabhumi, hari ini.

China merupakan sumber pelancong penting untuk Thailand, menyumbang 11 juta pelawat atau 27.69 peratus daripada keseluruhan jumlah ketibaan pada 2019, tahun sebelum wabak COVID-19.

Unjuran TAT menunjukkan bahawa bilangan ketibaan pelawat dari China boleh mencecah 4.01 juta hingga 4.4 juta, dan menjana pendapatan pelancongan sebanyak 257.5 bilion baht tahun ini.

Semasa pengecualian visa sementara lima bulan, Thailand dijangka menerima 2,888,500 pelancong China, yang akan menjana pendapatan sebanyak 140.3 bilion Baht. – Bernama