Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 25 SEPT – Kementerian Pembangunan melalui pihak Autoriti Kawalan Bangunan dan Industri Pembinaan (ABCi) telah memberikan Delegation of Powers ke atas kesalahan-kesalahan di bawah Perintah Kawalan Bangunan, 2014 kepada pegawai dan kakitangan dari Jabatan Daerah dan Lembaga Bandaran, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN) dan Jabatan Kemajuan Perumahan, Kementerian Pembangunan.
Langkah berkenaan adalah sebagai salah satu usaha berterusan dalam meningkatkan keberkesanan penguatkuasaan perintah berkenaan.
Sehubungan itu, surat-surat lantikan berkenaan telah diserahkan kepada para penerima oleh Pemangku Setiausaha Tetap (Perancangan, Guna Tanah dan Alam Sekitar) di Kementerian Pembangunan, Dayang Aldila binti Haji Mohd Salleh dalam majlis yang berlangsung di Dewan Indera Pahlawan, Bangunan Pusat Latihan dan Kemahiran Kerja, Kementerian Pembangunan, baru-baru ini.
Penerima-penerima surat lantikan berkenaan diperingatkan untuk sentiasa menjalankan tugas penguatkuasaan dengan penuh tanggungjawab dan berintegriti serta tidak menyalahgunakan kuasa yang telah diamanahkan.
Peruntukan yang dimaksudkan adalah bagi menguatkuasakan Seksyen 57 terhadap pemilik atau penghuni bangunan komersial bagi menjaga kebersihan di kawasan yang boleh diakses oleh orang ramai yang mana diberikan kepada pihak KHEDN.
Sementara itu, Jabatan Kemajuan Perumahan diberikan kuasa untuk menguatkuasakan Seksyen 24 dan 57 bagi sebarang ubahsuai atau tambahan kemajuan tanpa kebenaran serta menjaga kebersihan di kawasan perumahan.