Brunei Darussalam
This article was added by the user . TheWorldNews is not responsible for the content of the platform.

UK peringati ulang tahun kemangkatan Ratu Elizabeth II

BALLATER, UNITED KINGKOM, 8 SEPT – Raja Charles III hari ini telah mengucapkan terima kasih kepada orang ramai atas sokongan yang diberikan pada tahun pertamanya sebagai raja Britain sekali gus memberi penghormatan kepada bondanya, Ratu Elizabeth II, sempena ulang tahun kemangkatan Baginda.

Dalam satu kenyataan ringkas, raja Britain berusia 74 tahun itu mengimbau ‘kasih sayang sepenuh jiwa raga’ terhadap ibunya, serta kehidupan dan perkhidmatan awam Baginda.

“Terima kasih kepada semua atas kasih sayang dan sokongan yang diberikan kepada saya dan isteri saya sepanjang tahun ini, kami berusaha dengan sepenuh hati untuk berkhidmat kepada semua,” tambahnya.

Tahun ini, peringatan tersebut disambut dalam suasana sederhana, dengan raja berada di kediamannya di Highland Scotland, Balmoral, tidak dijangka menghadiri sebarang acara rasmi.

Baginda bersama isteri, Camilla, serta anak saudara dan anak saudari Ratu, mengunjungi Crathie Kirk berdekatan, tempat Almarhum bonda Baginda selalu bersembahyang, untuk berdoa dan seketika merenung kenangan bersama.

Dalam pakaian kilt tartan merah, Raja Charles III bercakap dengan orang ramai yang berkumpul di luar gereja selepas acara tersebut.

Ratu Elizabeth II, yang memerintah selama 70 tahun, meninggal dunia pada 8 September 2022 di Balmoral pada usia 96 selepas kesihatan Baginda memburuk. Bunga-bunga ditinggalkan di pintu gerbang kediaman tersebut.

Sepanjang pemerintahannya, Ratu Elizabeth II tidak pernah secara terbuka meraikan penobatannya sebagai Ratu, kerana tarikh tersebut juga merupakan hari ulang tahun kematian ayah Baginda, Raja George VI pada tahun 1952. – AFP

Raja Charles III (kiri) dan Permaisuri Camilla bertemu orang ramai selepas menghadiri upacara penghormatan di gereja di kampung Crathie, tengah Scotland. – AFP