Penyanyi popular, Ziana Zain, 55, menafikan terima tawaran gelaran Datuk seperti berita yang tular dalam media sosial sejak semalam.
Ziana atau nama sebenarnya, Siti Roziana Zain berkata, dia terperanjat dan hanya tertawa apabila ada dalam kalangan rakan-rakan yang mengucapkan tahniah selepas mendengar khabar angin itu.
“Setakat ini, saya masih belum menerima gelaran Datuk, gelaran nenek adalah. Saya memang terperanjat apabila bangun tidur, ada orang ucap tahniah sebab dapat gelaran Datuk.
“Saya jelaskan kepada mereka dan hanya ketawa. Mungkin sesetengah orang marah apabila ada khabar angin tersebar, tetapi saya geli hati.
“Semalam, saya baru dapat berita ini selepas ramai kawan yang memaklumkan. Tiba-tiba mereka kata perlu panggil saya Datuk. Tetapi, apa saya boleh cakap sekarang bukan masa untuk dapat Datuk,” katanya kepada BH Online.
Pelantun lagu Madah Berhelah itu berkata, ia adalah bonus sekiranya benar-benar diberi peluang menerima gelaran Datuk.
“Gelaran Datuk adalah satu anugerah atas pembabitan saya dalam kerjaya nyanyian. Kalau ada saya bersyukur, tetapi kalau tiada pun tak mengapa.
“Cuma, apa yang dirisaukan, kalau saya dapat gelaran Datuk mungkin banyak perkara yang berubah termasuk karakter saya. Disebabkan itu, kalau dapat sekalipun saya akan minta orang panggil saya Ziana macam biasa,” katanya.
Ditanya pandangan sesetengah individu yang menyifatkan dirinya sudah layak menerima gelaran, Ziana positif dan menganggap rezeki masih belum tiba.
Namun, Ziana berkata, keutamaannya kini adalah menyara keluarga.
“Itu pandangan masing-masing sebab saya bukan kejar pangkat. Apa yang lebih penting, mencari duit untuk menyara kehidupan saya dan anak-anak,” tambahnya. – Agensi